Saturday 17 January 2009

BOIKOT ISRAEL

Monday 12 January 2009

Deman

Dok belek rencana kenkawan, terminat pulak mende ni dan trus dicopy n paste; semoga kenkawan tak marah.

Mencaci-maki Demam.

Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya :

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu Sa’ib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:

“Apa halnya engkau wahai Ummu Sa’ib atau Ummu Musayyib menggigil?

Dia menjawab:

“Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya”.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi”.

(Hadith Riwayat Muslim)

Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya.

Demam Penebus Dosa.

Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.

Diriwayatkan dari Al-Hasan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah menghapuskan seluruh kesalahan seorang muslim yang beriman dengan demam yang dideritainya satu malam”.

(Hadith riwayat Ibn Abi Ad-Dunya)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.

Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.

Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?

Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka. Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dengan berkata yang ertinya :

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.

Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.

Al-Qur’an ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub ‘Alaihissalam dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.

Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Qur’an :

Tafsirnya : “Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.

(Surah Al-Anbiya’: 83)

Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub ‘Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Baginda menyebut “aku disentuh” dan tidak menyebut perkataan “aku ditimpa”. Di sini menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga “atas kehendakMu”, kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: “Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani”.

Sunday 11 January 2009

Petikan Ucapan Mufti Perlis Sebelum Cuti Belajar

Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja yang mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a:

“Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?”. Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq- lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26).

Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama. Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal rukun nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah.

Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia. Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pulak yang hendak jadi ahli politik.

Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi s.a.w.

Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas’ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Berbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.