Sunday 11 January 2009

Petikan Ucapan Mufti Perlis Sebelum Cuti Belajar

Mengubah minda dan pemikiran bukan kerja yang mudah. Ia memerlukan masa dan kesungguhan. Lebih daripada itu, ia memerlukan kesabaran dalam menghadapi ujian dan harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a:

“Apa akan terjadi kepada kamu nanti apabila fitnah (penyelewengan) membaluti kamu. Anak kecil membesar dalamnya, yang dewasa pula telah tua bersamanya, lalu fitnah dijadikan sunnah (kebiasaan) sehingga jika ia diubah maka dikatakan “ini tindakan yang munkar”. Ditanya beliau: “Bilakah hal itu akan terjadi?”. Jawabnya: “Apabila kurangnya mereka yang amanah dalam kalangan kamu, tetapi ramainya pemimpin (orang politik) kamu, kurangnya mereka yang faqih (memahami hakikat Islam) dalam kalangan kamu tetapi ramainya pembaca al-Quran, dan dipelajari ilmu bukan kerana agama (Allah) serta dicari dunia dengan amalan akhirat” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq- lihat: al-Albani, Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 1/26).

Ini realiti kita sebenarnya. Banyak perkara bukan agama dikatakan agama. Sehingga manusia sukar hendak membeza antara pendapat ustaz dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sebenar. Lalu pendapat golongan agama, sekalipun tidak menepati nas tetap dimaksumkan. Contohnya seseorang tidak membeza antara perkahwinan yang sah, dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh Pejabat Agama. Seperti cerita seorang kadi yang enggan mengesahkan perkahwinan yang diuruskan oleh kadi lain kerana pasangan tersebut menjemput kadi luar kawasan. Padahal rukun nikah sudah dipenuhi; ada pasangan, wali, saksi dan akad. Namun kerana fulus pendaftaran tidak sampai ke tangan kadi kawasan, maka pasangan itu selama beberapa tahun terpaksa merayu sijil nikah mereka. Menderitalah mereka dalam tempoh tersebut, lalu ada yang menganggap perkahwinan mereka tidak sah.

Sama seperti perkahwinan di luar negara, bukan tidak sah tetapi tidak diiktiraf oleh kerenah birokrasi agama di Malaysia. Begitu juga dalam hal-hal lain termasuk ibadah. Berapa banyak perkara adat melayu disangka ajaran Islam sehingga jika kita berbeza kita akan dituduh dengan berbagai perkara. Demikian juga kita kekurangan tokoh yang amanah tetapi ramai pulak yang hendak jadi ahli politik.

Seterusnya betapa ramai para pembaca al-Quran atau penceramah dalam kalangan kita, tetapi sedikit pula yang benar-benar memahami hakikat Islam yang dihantar kepada umat manusia. Akhirnya kita gagal menampilkan imej Islam yang indah seperti yang diperjuangkan oleh baginda Nabi s.a.w.

Dalam rangkap yang akhir dalam riwayat ‘Abd Allah bin Mas’ud ini dicerita pada zaman fitnah tersebut manusia menggunakan amalan agama untuk mendapatkan dunia. Lihatlah, bermula dengan upah sembahyang hadiah untuk jenazah, upah baca al-Quran untuk mayat sehingga perkara-perkara lain yang lebih besar yang lain. Semua itu projek duit atas nama agama. Berbagai khurafat akhirnya muncul, sedangkan umat Islam dilanda bermacam masalah yang getir.

No comments: